WASHINGTON, 1 Ogos – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Khamis menandatangani perintah eksekutif untuk menaikkan tarif terhadap Kanada daripada 25 peratus kepada 35 peratus, berkuat kuasa 1 Ogos 2025, menurut kenyataan White House.
Langkah tersebut diambil sebagai respons terhadap apa yang digambarkan oleh Washington sebagai "tindakan balas dan kegagalan Kanada untuk bertindak balas secara konstruktif" dalam isu perdagangan dua hala.
"Presiden Trump mendapati peningkatan kadar tarif ini perlu bagi menangani kecemasan sedia ada secara berkesan," kata White House dalam kenyataan berkenaan.
Namun, barangan yang layak menerima layanan tarif keutamaan di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas AS-Mexico-Kanada (USMCA) tidak akan terjejas dengan kadar baharu ini.
Sebagai langkah tambahan, mana-mana barangan yang cuba diseludup melalui negara ketiga bagi mengelak kadar 35 peratus itu akan dikenakan tarif penghantaran semula (transshipment) sebanyak 40 peratus.
Dalam pengumuman sama, Trump turut memperkenalkan kadar tarif baru yang disebut sebagai "kadar timbal balik", dengan sebanyak 41 peratus dikenakan ke atas beberapa negara lain dalam usaha terbaru pentadbirannya menyeimbangkan aliran perdagangan. - REUTERS