fb fb fb fb fb

Trump kenakan tarif baharu termasuk ubat-ubatan, perabot

Semua produk farmaseutikal berjenama atau dipatenkan akan dikenakan tarif 100 peratus kecuali syarikat pengeluar membina kilang di Amerika/Foto AFP

WASHINGTON, 26 September - Amerika Syarikat bakal mengenakan tarif baharu ke atas pelbagai barangan termasuk ubat-ubatan, trak berat dan perabot bermula 1 Oktober, umum Presiden Donald Trump pada Khamis.

Trump berkata, semua produk farmaseutikal berjenama atau dipatenkan akan dikenakan tarif 100 peratus kecuali syarikat pengeluar membina kilang di Amerika.

Pengumuman itu mencetus kritikan daripada sekutu rapatnya, Australia.

Menteri Kesihatan Australia Mark Butler menegaskan tarif lebih tinggi itu tidak menguntungkan pengguna Amerika, sedangkan eksport ubat-ubatan negaranya ke Amerika mencecah AS$1.35 bilion (RM6.08 bilion) pada 2024.

Selain itu, Trump turut mengumumkan tarif 25 peratus ke atas trak berat buatan luar negara atas alasan keselamatan negara.

Kabinet dapur, almari bilik mandi serta produk berkaitan dikenakan tarif 50 peratus, manakala perabot upholsteri 30 peratus.

Saham pengeluar perabot utama Amerika termasuk Wayfair dan Williams Sonoma dilaporkan jatuh mendadak selepas pengumuman tersebut.

Penganalisis memberi amaran langkah itu akan menambah tekanan inflasi ke atas ekonomi Amerika. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN