fb fb fb fb fb

Trump gagal raih hadiah nobel keamanan

Foto REUTERS

WASHINGTON, 11 Oktober -Impian Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk bergelar penerima Hadiah Nobel Keamanan tidak kesampaian tahun ini.

Jawatankuasa Nobel Norway yang menentukan penerima anugerah berprestij itu memutuskan untuk tidak memilih Trump sebagai pemenang.

Ini meskipun terdapat harapan bahawa beliau mungkin diiktiraf atas usahanya menormalisasi hubungan diplomatik antara beberapa negara.

Sebaliknya, anugerah berkenaan diberikan kepada ketua pembangkang Venezuela, Maria Corina Machado atas usahanya mempromosikan hak demokratik di negaranya dan perjuangan untuk membawa Venezuela ke arah peralihan demokrasi.

Machado mendedikasikan anugerah tersebut kepada rakyat Venezuela dan Trump atas "sokongan tegas" terhadap perjuangan mereka.

“Kami kini berada di ambang kemenangan dan hari ini, lebih dari sebelumnya, kami bergantung kepada Presiden Trump, rakyat Amerika Syarikat, rakyat Amerika Latin serta negara-negara demokratik di seluruh dunia sebagai sekutu utama kami untuk mencapai kebebasan dan demokrasi,” tulisnya di media sosial.

Machado, 58, seorang jurutera industri, kini hidup dalam persembunyian selepas dihalang oleh mahkamah Venezuela daripada bertanding dalam pilihan raya presiden 2024.

Penganugerahan itu dianggap sebagai pengiktirafan antarabangsa terhadap perjuangan pro-demokrasi di Venezuela, serta tekanan berterusan terhadap rejim Maduro yang dikritik hebat oleh masyarakat antarabangsa kerana pencabulan hak asasi dan manipulasi sistem pilihan raya. - REUTERS/AGENSI

TETITIA YUSOFF