WASHINGTON, 8 Mei- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dijangka mengumumkan satu perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat dan Britain hari ini, menurut laporan New York Times yang memetik tiga individu yang mengetahui rancangan tersebut.
Trump dalam hantaran di platform Truth Social memaklumkan beliau akan mengadakan sidang media di Pejabat Oval pada pukul 10 pagi waktu tempatan berkaitan satu "perjanjian perdagangan besar dengan wakil dari sebuah negara yang disegani", menggunakan huruf besar sepenuhnya.
Beliau tidak mendedahkan maklumat lanjut, namun menyatakan ia merupakan yang pertama daripada beberapa perjanjian akan datang.
Jurucakap White House enggan mengulas mengenai laporan tersebut.
Trump sebelum ini mencetuskan perang perdagangan yang menggegarkan pasaran kewangan global dan mencetuskan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi, dengan para penggubal dasar dan pemimpin industri berdepan ketidaktentuan yang menjejaskan rantaian bekalan serta pelbagai sektor ekonomi di seluruh dunia.-REUTERS