fb fb fb fb fb

Filipina kecam provokasi bahaya China ketika latihan bersama di Terumbu Scarborough

Tangkap layar video yang dikeluarkan oleh Angkatan Tentera Filipina didakwa menunjukkan kapal Tentera Laut China (PLA Navy) menghalang dan mengekori kapal Tentera Laut Filipina, BRP Emilio Jacinto. Insiden itu berlaku berhampiran Terumbu Scarborough yang dipertikai di Laut China Selatan / AFP

MANILA, 8 Mei- Filipina hari ini mengecam tindakan berisiko tinggi oleh sebuah kapal perang China yang didakwa melakukan gerakan berbahaya berhampiran Terumbu Scarborough.

Terumbu Scarborough, gugusan terumbu karang berbentuk segi tiga di Laut China Selatan yang menjadi rebutan telah menjadi titik panas pertikaian sejak China merampasnya daripada Filipina pada 2012.

Menurut kenyataan tentera Filipina, insiden terbaharu berlaku pada Isnin lalu, kira-kira 11.8 batu nautika tenggara dari Terumbu Scarborough, ketika latihan ketenteraan bersama AS-Filipina yang sedang berlangsung yang sebelum ini dikritik Beijing sebagai mencetuskan ketidakstabilan.

“Kapal perang China BN 554 dikesan mengekori rapat PS35 (BRP Emilio Jacinto), manakala kapal BN 573 pula melintasi haluan pada jarak dekat secara berbahaya, mencetuskan risiko pelanggaran,” menurut kenyataan pihak tentera yang menyifatkan insiden itu sebagai satu ancaman dan bersifat provokatif.

Sebagai tindak balas, tentera China menuduh Manila menghantar kapal yang menceroboh perairan wilayahnya.

Jurucakap Komando Selatan Tentera China, Kolonel Tian Junli berkata, pihaknya telah menghantar pasukan tentera laut dan udara untuk mengesan, memantau, memberi amaran serta menghalau kapal Filipina itu mengikut undang-undang dan peraturan.

“Kenyataan pihak Filipina telah mengabaikan fakta, mengelirukan orang awam, dan cuba memanipulasi persepsi antarabangsa,” katanya.

Laksamana Madya Filipina, Roy Vincent Trinidad memaklumkan kepada AFP bahawa kali terakhir insiden melibatkan kapal perang kedua-dua negara berlaku ialah dua tahun lalu ketika misi penghantaran bekalan ke Laut China Selatan.

Sementara itu, Alexander Lopez dari Majlis Maritim Negara Filipina berkata, kapal China itu berada pada jarak amat dekat dan berbahaya dengan kapal Filipina, dengan satu daripadanya hanya kira-kira 180 meter di hadapan haluan BRP Emilio Jacinto, jarak yang menurutnya tidak memberi ruang untuk sebarang tindakan kecemasan.

Kapal China yang mengekori pula berada kurang 100 meter dari sisi kapal Filipina.

China dan Filipina terus berdepan ketegangan selama beberapa bulan kebelakangan ini di Laut China Selatan, yang hampir keseluruhannya dituntut oleh Beijing walaupun Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa telah memutuskan tuntutan itu tidak sah.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE