fb fb fb fb fb

China pertahan hak, kepentingan berhubung tarif AS

Foto hiasan

BEIJING, 8 Mei- China tegas mempertahankan hak dan kepentingannya yang sah dalam rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung isu tarif.

Kedutaan China di Amerika Syarikat memaklumkan perkara itu, sebagai jawapan kepada pertanyaan media mengenai rundingan ekonomi dan perdagangan China-AS di Switzerland.

Kedutaan China turut memaklumkan bahawa pihak AS telah menghubungi negara tembok besar itu melalui pelbagai saluran berkenaan hasratnya untuk melibatkan diri dengan China mengenai tarif dan isu berkaitan lain.

Selepas menilai dengan teliti mesej dari AS, China bersetuju untuk mengadakan perbincangan dan rundingan itu atas permintaan pihak AS.

Bagaimanapun China konsisten menentang pengumuman tarif AS selain tegas melindungi hak dan kepentingannya yang sah.

Perkara itu untuk menegakkan keadilan antarabangsa, mempertahankan peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan sistem perdagangan pelbagai hala.

Perang tarif yang dimulakan AS memerlukan rundingan dan penyelesaian selain mengelak daripada membuat ancaman serta memberikan tekanan.

Perkara itu dilihat dapat menjaga dasar kesaksamaan, saling menghormati dan faedah bersama.

Kedutaan itu juga memaklumkan bahawa China tidak akan menerima sikap AS tidak konsisten dalam membuat keputusan.

China juga tidak akan bersetuju dengan sebarang perjanjian yang menjejaskan prinsip atau keadilan antarabangsa.

Naib Perdana Menteri China He Lifeng dijangka akan bertemu dengan Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent semasa lawatannya ke Switzerland dari 9 hingga 12 Mei.- Reuters

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI