fb fb fb fb fb

Trump dijangka tamat lawatan ke Asia Barat pada Khamis

Foto AFP

DOHA, 15 Mei- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dijangka menamatkan siri lawatannya ke Asia Barat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis, selepas memeterai pelbagai perjanjian dengan Arab Saudi dan Qatar.

Namun, Trump tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan perjalanan ke Turkiye sekiranya Presiden Rusia, Vladimir Putin, hadir untuk rundingan dengan Ukraine.

Trump sebelum ini berada di Doha untuk mengumumkan perjanjian pembelian pesawat Boeing bernilai AS$200 bilion bersama kerajaan Qatar.

Lawatan beliau bermula di Riyadh, di mana Arab Saudi mengumumkan komitmen pelaburan sebanyak AS$600 bilion termasuk dalam sektor pertahanan.

Bagaimanapun, hadiah mewah daripada pemimpin Teluk mencetuskan kontroversi apabila Qatar dilaporkan menawarkan sebuah pesawat eksklusif untuk kegunaan rasmi dan peribadi Trump, yang dianggap oleh Parti Demokrat sebagai bentuk rasuah nyata.

Trump, yang pernah memilih Arab Saudi sebagai destinasi lawatan pertama penggal pertamanya, memuji pembangunan pesat negara Teluk dan menegaskan kejayaan itu hasil usaha rakyat tempatan, bukan campur tangan asing.

Beliau juga mengkritik dasar luar AS sebelum ini yang gagal membangunkan Afghanistan dan Iraq, sebaliknya membawa kemusnahan. - AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM