SAN ISIDRO,15 Mei - Polis Argentina menyerbu syarikat penjagaan kesihatan Medidom yang sebelum ini bertanggungjawab merawat legenda bola sepak Diego Maradona di rumah.
Tindakan ini berkait perbicaraan tujuh petugas perubatan yang didakwa cuai dalam penjagaan Maradona sebelum beliau meninggal dunia pada November 2020.
Maradona ketika itu berusia 60 tahun dan sedang pulih selepas menjalani pembedahan otak.
Beliau meninggal dunia akibat kegagalan jantung dan komplikasi pada paru-paru, hanya dua minggu selepas pembedahan.
Dalam pada itu, saksi mendakwa juara Piala Dunia 1986 itu dirawat dalam bilik kotor yang tidak dilengkapi dengan peralatan perubatan mencukupi.
Ketujuh-tujuh tertuduh kini sedang dibicarakan di mahkamah San Isidro sejak 11 Mac lalu, atas dakwaan menyebabkan kematian melalui tindakan yang diketahui boleh membawa maut.
Jika sabit kesalahan kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara antara lapan hingga 25 tahun.
Perbicaraan dijangka berterusan sehingga Julai ini.