fb fb fb fb fb

Empat lagi kanak-kanak Gaza terima rawatan di Jordan

Foto REUTERS

JORDAN, 15 Mei- Sekumpulan pesakit kanser kanak-kanak dari Gaza telah dipindahkan ke Jordan untuk menerima rawatan perubatan pada Rabu.

Kali ini, Jordan menerima empat kanak-kanak bersama 12 ahli keluarga mereka.

Menerusi kerjasama Angkatan Tentera Jordan, Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mereka dibawa masuk melalui jalan darat sebelum diterbangkan dengan helikopter ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Saya sangat gembira dapat bersama keluarga dan menerima rawatan di Jordan. Terima kasih kepada semua petugas perubatan atas usaha mereka. Kami baru tiba di Jordan selepas bertolak pada pukul 7.00 pagi tadi," kata seorang pesakit.

Terdahulu, Raja Jordan, Raja Abdullah II menyatakan kesediaan negaranya menerima kanak-kanak yang sakit dari Gaza.

Sebulan selepas itu, Jordan melancarkan inisiatif Koridor Perubatan Jordan dan menerima kumpulan pertama pesakit, melibatkan 29 kanak-kanak dan 44 ahli keluarga mereka.

Pada Selasa lalu, 17 daripada kanak-kanak terbabit pulang ke Gaza selepas selesai menjalani rawatan.

Melalui inisiatif itu, Jordan menyasarkan untuk menerima sekitar 2,000 kanak-kanak dari Gaza yang menghidap kanser atau penyakit serius lain secepat mungkin.

Usaha terbabit merupakan sebahagian daripada misi kemanusiaan Jordan sejak tercetusnya konflik Israel-Hamas pada Oktober 2023.

Kerajaan Jordan turut menubuhkan hospital medan, menghantar konvoi bantuan makanan dan perubatan, serta melaksanakan beberapa operasi pemindahan pesakit yang memerlukan rawatan lanjut di luar Gaza. – REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM