fb fb fb fb fb

Trump desak CEO Intel letak jawatan, dakwa ada hubungan dengan firma China

FOTO REUTERS

WASHINGTON, 8 Ogos – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Khamis menuntut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Intel, Lip-Bu Tan, meletakkan jawatan serta-merta kerana didakwa mempunyai konflik kepentingan besar ekoran kaitannya dengan firma-firma China, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap masa depan ikon cip negara itu.

Perubahan kepimpinan dijangka menambah tekanan terhadap Intel yang kini melaksanakan pelan penstrukturan semula strategik di bawah Tan, termasuk langkah mengurangkan kos melalui pengurangan tenaga kerja dan menghentikan pembinaan beberapa loji pembuatan yang dirancang.

Kenyataan Trump itu dibuat sehari selepas Reuters melaporkan Senator Republikan, Tom Cotton, menghantar surat kepada pengerusi lembaga pengarah Intel dengan mengemukakan persoalan mengenai hubungan Tan dengan firma-firma China serta kes jenayah terbaru melibatkan bekas syarikatnya, Cadence Design.

Pada April lalu, Reuters turut melaporkan Tan, sama ada secara peribadi atau melalui dana teroka yang diasas atau diurusnya telah melabur dalam ratusan syarikat China, termasuk yang mempunyai kaitan dengan tentera negara itu.

“Tiada jalan penyelesaian lain bagi masalah ini,” kata Trump menerusi hantaran di platform media sosialnya, Truth Social, yang menyaksikan saham Intel (INTC.O) susut kira-kira 4 peratus dalam dagangan prapasaran di Amerika Syarikat.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE