NAIROBI, 8 Ogos - Enam terkorban dalam kejadian sebuah pesawat ringan pemindahan perubatan terhempas di sini, pada Khamis.
Pesawat AMREF Flying Doctors itu terhempas di daerah Kiambu, kira-kira 20 kilometer timur laut ibu negara Kenya itu, selepas melanggar sebuah bangunan kediaman.
Mangsa yang maut adalah empat individu di dalam pesawat tersebut iaitu juruterbang, dua jururawat dan seorang doktor.
Manakala dua orang awam yang merupakan penghuni bangunan terjejas turut terkorban.
Identiti semua mangsa belum didedahkan.
Ketua Polis Daerah Kiambu, Maurice Odanga mengesahkan jumlah korban dan memaklumkan siasatan berhubung punca nahas sedang dijalankan.
Rakaman berhubung kejadian tersebar luas di media sosial menunjukkan asap hitam tebal di lokasi kejadian dan pasukan penyelamat dilihat cuba menyelamatkan mangsa. - REUTERS