fb fb fb fb fb

Trump dakwa jadi mangsa politik AS

FOTO AFP

FLORIDA, 5 April- Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa dirinya menjadi mangsa campur tangan dalam pilihan raya apabila beliau dihadapkan ke mahkamah atas 34 pertuduhan jenayah.

Trump merupakan bekas presiden negara itu yang pertama berdepan pertuduhan jenayah di mahkamah.

"Saya tidak menyangka perkara sebegini akan berlaku di Amerika Syarikat.

Satu-satunya jenayah yang saya lakukan ialah tanpa gentar mempertahankan negara kita daripada mereka yang mahu menghancurkannya," kata Trump kepada media tempatan, di sini.

Berucap di hadapan penyokong beliau di Mar-a-Lago, Palm Beach, Florida, Trump menzahirkan rasa kesal dan terkejut dengan pertuduhan kepada dirinya.

Trump turut membidas pendakwa raya, Alvin Bragg kerana membuat pertuduhan berkenaan terhadapnya.

Trump antara lain dituduh mendalangi wang sogokan kepada seorang pelakon lucah dan seorang bekas model Playboy sebelum pilihan raya Amerika Syarikat pada 2016 untuk menyekat penerbitan mengenai hubungan seksual mereka dengannya.- REUTERS


(FOTO AFP)

Media Baharu