WASHINGTON, 12 Jun - Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bercadang menarik balik beberapa dasar iklim yang diperkenalkan semasa pentadbiran bekas Presiden Joe Biden dan Barack Obama.
Langkah itu melibatkan dasar bagi mengurangkan pelepasan bahan pencemar daripada loji janakuasa gas dan arang batu di negara itu.
Ketua Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA), Lee Zeldin, berkata langkah berkenaan bukan sahaja akan membantu menjimatkan bil elektrik rakyat Amerika, malah memastikan bekalan tenaga kekal mencukupi untuk keperluan semasa.
“Pejabat kami akan mengimbangi antara kepentingan ekonomi dan perlindungan iklim,” katanya dalam satu sidang media.
Peraturan yang bakal dimansuhkan termasuk had pelepasan karbon dioksida daripada loji janakuasa dan peraturan yang mengehadkan pelepasan bahan pencemar berbahaya seperti merkuri.
Peraturan-peraturan itu sebelum ini diperkenalkan bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau oleh Amerika Syarikat serta melindungi penduduk yang tinggal berhampiran loji jana kuasa daripada pendedahan kepada bahan pencemar udara yang boleh menjejaskan sistem saraf dan pernafasan.
Pentadbiran Trump berpendapat bahawa peraturan itu terlalu membebankan daripada segi kos dan menghalang pengeluaran tenaga, terutamanya ketika permintaan elektrik meningkat susulan pembangunan kecerdasan buatan (AI).