fb fb fb fb fb

Mogok pekerja Chiquita tamat, rundingan berjaya

Para pekerja menunggu di luar Bangunan Perhimpunan Kebangsaan untuk ketua-ketua kesatuan muncul dengan hasil mesyuarat mereka bersama ahli-ahli Parlimen di Bandar Raya Panama pada 10 Jun 2025. Kerajaan Panama dan para pekerja di anak syarikat syarikat pisang Amerika Syarikat, Chiquita Brands, telah memulakan rundingan pada 9 Jun bagi mencari perjanjian yang dapat menamatkan protes dan sekatan jalan raya. / Foto AFP

PANAMA CITY, 12 Jun-Pekerja syarikat pisang gergasi Amerika Syarikat, Chiquita Brands telah bersetuju pada Rabu untuk menamatkan protes dan sekatan jalan raya susulan kejayaan dalam rundingan isu pencen yang menyebabkan ribuan pekerja diberhentikan.

Pekerja Chiquita di wilayah Caribbean Bocas del Toro memulakan mogok pada 28 April berikutan pembaharuan sistem pencen. Tindakan tersebut mendorong syarikat untuk mengumumkan pemberhentian lebih 6,500 pekerja.

Presiden Perhimpunan Kebangsaan, Dana Castaneda, berkata kesatuan bersetuju untuk membuka semula laluan dan menjamin kebebasan pergerakan di kawasan bersempadan dengan Costa Rica.

Kerajaan pimpinan Presiden Jose Raul Mulino bersama blok legislatif menyatakan komitmen untuk menyokong rang undang-undang yang akan memulihkan faedah pencen pekerja Chiquita.

Sumber terdekat dengan rundingan memaklumkan bahawa kesatuan sedang mengusahakan perjanjian dengan pihak Chiquita dan kerajaan bagi mengembalikan pekerjaan kepada para pekerja yang terkesan.

Castaneda akan memulakan komunikasi dengan Chiquita untuk menilai keadaan semasa dan masa depan syarikat serta para pekerjanya.

Sementara itu, Menteri Buruh Jackeline Munoz mengesahkan bahawa tiada seorang pun pekerja Chiquita yang berdaftar di Panama buat masa ini.

Pemimpin kesatuan, Francisco Smith, memaklumkan bahawa semua sekatan jalan akan dialihkan serta-merta untuk memastikan keadaan kembali aman di Changuinola, lokasi utama operasi Chiquita.

Wilayah Bocas del Toro amat bergantung kepada sektor pelancongan dan pengeluaran pisang, yang menyumbang lebih 17% kepada eksport negara dalam suku pertama 2025, menurut data rasmi kerajaan.

Chiquita sebelum ini menganggarkan kerugian melebihi USD 75 juta akibat protes dan gangguan operasi selama lebih dua minggu.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD