fb fb fb fb fb

AS pindah sebahagian kakitangan dari kedutaan di Iraq

Pemandangan Zon Hijau di Baghdad, Iraq / Foto REUTERS

BAGHDAD, 12 Jun– Amerika Syarikat sedang bersiap sedia untuk memindahkan separuh daripada kakitangan kedutaannya di Iraq berikutan peningkatan risiko keselamatan di rantau berkenaan.

Presiden AS, Donald Trump, mengesahkan kepada wartawan bahawa kakitangan AS sedang dipindahkan keluar kerana "ia boleh menjadi tempat yang berbahaya."

“Kami telah memberikan notis untuk berpindah keluar,” katanya.

Seorang pegawai AS menyatakan bahawa pemindahan kakitangan di kedutaan AS di Baghdad dijangka dilakukan menggunakan kaedah komersial, tetapi tentera AS bersedia jika bantuan diperlukan.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, telah meluluskan pemergian secara sukarela untuk keluarga tentera AS yang ditempatkan di pelbagai lokasi, dengan fokus utama di Bahrain, tempat kebanyakan keluarga berada.

Namun begitu, kedutaan AS di Kuwait dalam satu kenyataan menegaskan bahawa tiada perubahan dari segi penugasan dan ia masih beroperasi sepenuhnya.

Seorang lagi pegawai AS berkata bahawa tiada perubahan operasi di Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar, yang merupakan pangkalan tentera terbesar AS di rantau ini, dan tiada arahan pemindahan dikeluarkan bagi kakitangan kedutaan atau keluarga di Qatar.

Langkah pemindahan itu dilaporkan telah menyebabkan harga minyak mentah meningkat lebih 4%, dengan niaga hadapan Brent naik $AS3 kepada $AS 69.18 setong.

Agensi berita kerajaan Iraq memetik satu sumber rasmi yang menyatakan bahawa kerajaan Iraq tidak mengesan sebarang isyarat keselamatan yang memerlukan pemindahan kakitangan diplomatik AS.

Iraq, yang menempatkan kira-kira 2,500 anggota tentera AS, masih kekal sebagai rakan strategik negara itu, walaupun berada dalam kedudukan sensitif kerana turut menjalinkan hubungan dengan pihak-pihak lain di rantau tersebut.

Ketegangan di Iraq telah memuncak sejak permulaan perang di Gaza pada Oktober 2023, apabila kumpulan bersenjata yang sejajar dengan pengaruh asing menyerang tentera AS secara berulang. Namun begitu, serangan telah berkurang sejak tahun lalu.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD