fb fb fb fb fb

Trump beri masa 12 hari untuk Rusia tamatkan perang dengan Ukraine

FOTO REUTERS

WASHINGTON, 29 Julai – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menetapkan tempoh baharu 10 hingga 12 hari kepada Rusia untuk menunjukkan kemajuan dalam usaha menamatkan perang di Ukraine atau berdepan tindakan tegas, sekali gus menggambarkan kekecewaannya terhadap Presiden Vladimir Putin berhubung konflik yang telah berlarutan lebih tiga tahun setengah.

Trump sebelum ini mengancam untuk mengenakan sekatan ke atas Rusia dan pembeli eksport negara itu jika tiada kemajuan dicapai.

Berucap di Scotland ketika menghadiri pertemuan dengan pemimpin Eropah dan bermain golf, Trump berkata beliau kecewa dengan Putin dan memendekkan tempoh akhir 50 hari yang ditetapkannya awal bulan ini.

“Saya menetapkan tarikh akhir baharu, kira-kira 10 hingga 12 hari dari sekarang. Tiada sebab untuk menunggu... Kami tidak nampak sebarang kemajuan,” katanya ketika bertemu Perdana Menteri Britain, Keir Starmer.

Setakat ini, Kremlin belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas.

Trump yang turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, menegaskan beliau tidak berminat mengadakan rundingan tambahan dengan Putin dan akan mengenakan sekatan serta tarif sebagai hukuman jika tuntutannya tidak dipenuhi.

Trump sebelum ini berkali-kali melahirkan rasa kecewa dengan serangan berterusan Rusia terhadap Ukraine meskipun Amerika Syarikat giat berusaha menamatkan konflik berkenaan.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE