fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan Turkiye, tiga bomba terkorban

FOTO REUTERS

BURSA, 29 Julai – Pasukan bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran hutan di wilayah barat laut Turkiye, Bursa, yang memasuki hari ketiga.

Kebakaran di daerah Harmancik itu kembali marak akibat tiupan angin kencang selepas berjaya dikawal pada awal pagi. Penduduk setempat turut menggunakan pelbagai cara untuk memadamkan api yang memusnahkan kawasan berbukit berhutan dan menyebabkan kepulan asap tebal memenuhi udara.

Dalam tempoh dua minggu lalu, puluhan kebakaran hutan dilaporkan berlaku di seluruh Turkiye berikutan angin kencang selepas cuaca panas melampau melanda rantau Mediterranean. Ratusan kebakaran lain dilaporkan berjaya dipadamkan sepanjang musim panas ini.

Menurut Kementerian Perhutanan Turkiye, tiga anggota bomba terkorban pada Ahad selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas ketika memadamkan kebakaran di wilayah berkenaan, manakala ribuan penduduk dari beberapa kampung dan kawasan perumahan terpaksa dipindahkan buat sementara waktu.

Musim panas yang panas dan kering sememangnya biasa di rantau Mediterranean, namun gelombang haba yang semakin ekstrem menyumbang kepada kebakaran hutan yang lebih dahsyat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.- REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE