fb fb fb fb fb

Tragedi tanah runtuh PNG: Pasukan penyelamat PBB mula tiba di tapak runtuhan

FOTO AFP

PORT MORESBY, 25 Mei- Pasukan penyelamat mula tiba di tapak runtuhan besar di tanah tinggi terpencil Papua New Guinea hari ini, membantu penduduk kampung mencari berpuluh-puluh orang yang dikhuatiri maut di bawah timbunan runtuhan dan lumpur.

Bencana itu melanda bahagian terpencil wilayah Enga pada kira-kira pukul 3 pagi Jumaat, menurut pegawai kerajaan, ketika ramai penduduk kampung sedang tidur.

Seorang pegawai Pertubuhan Bangsa Bersatu yang berpangkalan di Papua New Guinea memberitahu AFP pagi tadi, sekurang-kurangnya empat mayat telah ditemui.

"Walaupun kawasan itu tidak padat penduduk, kebimbangan kami adalah bahawa jumlah kematian mungkin tidak seimbang tinggi," kata agensi kemanusiaan CARE ketika bantuan pertama mula disalurkan ke tapak.

Pasukan medik, tentera dan polis antara yang terawal tiba di tapak runtuhan, melalui perjalanan yang rumit disebabkan bentuk rupa bumi berceranggah dan kerosakan pada jalan utama.

Palang Merah pada Jumaat menganggarkan seramai 500 orang cedera atau mati.

Steven Kandai, seorang ketua masyarakat di tempat kejadian, memberitahu AFP bahawa ramai penduduk tidak mempunyai masa untuk melarikan diri.

"Tiba-tiba berlaku tanah runtuh yang besar. Gunung itu runtuh secara tiba-tiba semasa orang ramai masih tidur," katanya sambil menambah kediaman mereka "terkubur sepenuhnya".

Imej menunjukkan pemandangan kemusnahan total, dengan permukaan bumi yang luas terbelah dari Gunung Mungalo.

Tanah runtuh itu meninggalkan batu-batu besar sebesar kereta, pokok-pokok tumbang dan tanah yang meruntuh ke bawah lembah.

Sebuah bas mini yang terbalik boleh dilihat di kaki runtuhan.

Terletak di selatan khatulistiwa, kawasan itu dilanda hujan lebat yang kerap.

Mac lalu, sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh akibat tanah runtuh di wilayah berdekatan.- AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE