WASHINGTON, 25 Mei- Seorang bekas ejen CIA mengaku bersalah hari ini kerana mengintip untuk China.
Perkara itu diumumkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.
Alexander Yuk Ching Ma, 71, berasal dari Hong Kong yang menjadi warganegara AS, mengaku telah memberikan sejumlah besar maklumat pertahanan negara AS kepada pihak berkuasa China pada tahun 2001.
Menurut kenyataan Jabatan Kehakiman, pertemuan Ma dengan wakil Biro Keselamatan Negeri Shanghai telah dimulakan oleh seorang lagi bekas ejen CIA, saudara kandung Ma yang dilahirkan di Shanghai yang juga menjadi warga Amerika secara naturalisasi, dikenal pasti sebagai 'co-conspirator #1'.
"Pada penghujung hari ketiga mesyuarat di sebuah hotel di Hong Kong, pegawai perisikan China memberikan 'co-conspirator #1' dengan wang tunai AS$50,000.
"Ma dan 'co-conspirator #1' juga bersetuju pada masa itu untuk terus membantu perisikan Cina,"menurut kenyataan itu.
Pada tahun 2003, Ma telah diupah sebagai ahli bahasa oleh Biro Penyiasatan Persekutuan di Hawaii sebagai sebahagian daripada rancangan penyiasatan, untuk bekerja di lokasi luar di mana aktivitinya boleh dipantau dan hubungannya dengan China boleh disiasat.
Pada tahun 2006, Ma meyakinkan 'co-conspirator #1' untuk memberikan identiti sekurang-kurangnya dua individu yang digambarkan dalam gambar yang diberikan kepada Ma oleh perisikan China.
Ma mengaku bahawa maklumat yang diberikan serta apa yang dia berikan pada tahun 2001 akan digunakan untuk mengapa-apakan Amerika Syarikat atau menguntungkan pihak berkuasa China.
Ma bekerja untuk FBI sehingga 2012, dan tidak jelas daripada kenyataan bagaimana identitinya didedahkan.
Sabit kesalahan, Ma boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun.-AFP