SANTIAGO, 3 Ogos - Syarikat perlombongan tembaga Chile, Codelco mengesahkan seorang lagi pekerja yang terperangkap di lombong El Teniente telah meninggal dunia, menurut pengurus lombong, Andrés Music pada Sabtu. Ini menjadikan dua kematian telah disahkan setakat ini.
Seramai lima pekerja dilaporkan terperangkap susulan kejadian runtuhan pada Khamis lalu yang berpunca daripada gegaran seismik yang kuat.
Menurut Codelco, setakat Sabtu pihak penyelamat berjaya membersihkan lebih 20 peratus terowong bawah tanah yang tertimbus bagi mengakses lokasi pekerja yang terperangkap, namun masih belum berjaya membuat sebarang komunikasi dengan mereka.
Pasukan penyelamat menggunakan jentera berat untuk membersihkan 20 meter daripada 90 meter laluan yang diperlukan bagi sampai ke lokasi dipercayai tempat pekerja berada. Usaha itu dilakukan pada kadar 15 hingga 20 meter setiap 24 jam.
“Sekiranya para pekerja cuba berlindung, kemungkinan mereka berada di kawasan dinding pusing balik lori itu,” kata Music.
Setakat ini, sudah 44 jam berlalu sejak kemalangan berlaku pada sekitar 5.30 petang waktu tempatan Khamis lalu, yang disebabkan salah satu gegaran terkuat pernah direkodkan di El Teniente dengan magnitud bersamaan 4.2.
Codelco sedang menyiasat sama ada gegaran tersebut berpunca daripada aktiviti perlombongan atau pergerakan tektonik semula jadi di negara yang sememangnya terdedah kepada gempa bumi itu.-REUTERS