DHAKA, 22 Julai- Lebih 500 orang termasuk beberapa pemimpin pembangkang telah ditangkap selama beberapa hari berikutan pertempuran yang berlaku di ibu negara Bangladesh, Dhaka.
Situasi tegang itu dicetuskan oleh bantahan terhadap kuota pekerjaan, kata polis hari ini.
“Sekurang-kurangnya 532 orang telah ditangkap atas keganasan itu,” kata jurucakap Polis Metropolitan Dhaka, Faruk Hossain kepada AFP.
“Mereka termasuk beberapa pemimpin BNP,” tambahnya, merujuk kepada parti pembangkang Bangladesh National Party.
Mereka yang ditahan termasuk pemimpin ketiga paling kanan BNP, Amir Khosru Mahmud Chowdhury dan jurucakapnya, Ruhul Kabir Rizvi Ahmed.
Seorang bekas kapten bola sepak negara yang menjadi tokoh kanan BNP, Aminul Huq dan setiausaha agung parti, Jamaat-e-Islami iaitu Mia Golam Parwar antara yang ditahan.
Beliau berkata sekurang-kurangnya tiga anggota polis telah terbunuh semasa pergolakan di ibu negara dan kira-kira 1,000 cedera, sekurang-kurangnya 60 daripada mereka kritikal.
Jurucakap BNP, A.K.M Wahiduzzaman memberitahu AFP bahawa beberapa ratus pemimpin dan aktivis BNP telah ditangkap dalam beberapa hari lalu, di seluruh negara.- AFP