fb fb fb fb fb

Tindakan Britain mansuh semua sekatan COVID-19 membimbangkan

LONDON, 13 Februari - Pelbagai reaksi diterima susulan keputusan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson untuk menamatkan semua sekatan termasuk arahan kuarantin kendiri di England menjelang akhir bulan ini.

Kesatuan sekerja terbesar Britain dengan lebih 1.3 juta ahli, Unison menyifatkan keputusan itu keterlaluan dan terburu-buru.

Tegas kesatuan itu lagi, virus COVID-19 belum berakhir sepenuhnya.

Setiausaha Agung Unison, Christina McAnea, berkata semua orang mahu kembali kepada kehidupan biasa, namun risiko COVID-19 belum berakhir.

Malah keputusan itu membangkitkan kebimbangan banyak pihak kerana dikhuatiri memburukkan lagi keadaan pada masa akan datang.

Kumpulan Penasihat Saintifik untuk Kecemasan (SAGE) turut memberi amaran tentang bahaya yang mendatang.

Ini susulan hasrat Johnson menjadikan England negara pertama di dunia memansuhkan semua sekatan coronavirus.

Kaji selidik YouGov ke atas hampir 4,500 penduduk Britain mendapati 75% percaya keperluan kuarantin kendiri selepas positif COVID-19 perlu dikekalkan.

Separuh daripada responden juga mahu sekatan COVID-19 terus dilaksana sehingga keadaan benar-benar pulih.

Media Baharu