fb fb fb fb fb

TikTok perkenalkan pelan keselamatan baharu data Eropah

(FOTO AFP)

BRUSSELS, 9 Mac-TikTok melancarkan inisiatif baharu bagi meredakan kebimbangan pemimpin Eropah terhadap keselamatan data pada Rabu, setelah kerajaan Barat mempertimbangkan tindakan selanjutnya ke atas aplikasi berkenaan.

Inisiatif tersebut hadir ketika badan pemantau siber Czech mengeluarkan amaran menyifatkan aplikasi tersebut sebagai ancaman keselamatan.

Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat telah mengambil pendekatan yang keras terhadap aplikasi itu, yang dimiliki oleh syarikat China ByteDance.

Mereka bimbang Beijing boleh mengakses data peribadi pengguna dari seluruh dunia.

Menurut Pegawai Eksekutif TikTok, syarikat tersebut bakal bekerjasama dengan pihak ketiga syarikat keselamatan Eropah bagi menyelia dan menyemak kaedah pengendalian data pengguna Eropah, yang akan disimpan di dua pusat di Dublin dan satu lagi di Norway mulai 2023.

Buat masa ini, data pengguna Eropah kini disimpan di Amerika Syarikat dan Singapura.

Pihak TikTok menegaskan projek ini juga akan mengurangkan akses pekerja syarikat itu kepada data pengguna.

Bagaimana pun, syarikat itu enggan menamakan rakan kongsi tersebut, namun mendedahkan pembinaan tiga pusat itu akan menelan belanja 1.2 bilion Euro setiap tahun dan projek itu telah dimulai enam bulan lalu, kata Theo Bertram, Naib Presiden Dasar Awam Eropah TikTok menerusi taklimat dalam talian.

TikTok sudah pun mempunyai perjanjian serupa di Amerika Syarikat dengan gergasi Silicon Valley Oracle bagi menyimpan data pengguna di negara itu.

"Kami akan membina persekitaran yang selamat buat data itu bagi menghalang akses dari luar rantau ini," kata Bertram lagi.-AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu