fb fb fb fb fb

Kes keracunan misteri: RSF gesa Iran bebaskan wartawan

(FOTO AFP)

PARIS, 9 Mac-Kumpulan hak asasi media tanpa sempadan (RSF) pada Rabu menggesa Iran bagi membebaskan wartawan yang ditahan selepas membuat liputan kes keracunan misteri melibatkan pelajar sekolah.

Kumpulan itu turut berkata penahanan tersebut merupakan percubaan kerajaan bagi menutup mulut wartawan terbabit.

Kes keracunan makanan itu telah menjejaskan lebih 5,000 pelajar kebanyakannya perempuan sejak November lalu menurut pihak berkuasa.

Kumpulan hak asasi yang berpangkalan di luar Iran itu turut menuduh kerajaan Iran gagal melakukan perkara secukupnya bagi melindungi pendidikan wanita dan terdapat protes di seluruh Iran pada Isnin dan Selasa menurut kumpulan pemantau.

Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei pada isnin lalu menyifatkan pelaku jenayah kejadian sebagai jenayah yang tidak boleh dimaafkan dan berikrar bagi menjejaki pelaku tanpa belas kasihan.

RSF berkata wartawan berkenaan ialah Ali Pourtabatabaei yang membuat liputan kes untuk laman berita Qom di Twitter ketika kes pertama kali dilaporkan di bandar suci Qom pada hujung November dan masih membuat liputan ketika ditahan pada 5 Mac lalu.

Dikatakan juga, Ali berjaya menghubungi kakaknya menerusi telefon memberitahu dirinya ditahan, namun tidak pasti di mana lokasi ditahan.

Tambah RSF, Ali mengkritik kegagalan pihak berkuasa Qom yang tidak bertindak ketika kes pertama keracunan dilaporkan.

Kes keracunan misteri di Iran telah menambah ketegangan kalangan rakyat; selepas protes antikerajaan yang telah memasuki enam bulan susulan kematian Mahsa Amini yang ditahan kerana melanggar etika pemakaian wanita di negara itu.

Sejak bermulanya protes antikerajaan, Iran telah menahan dua wartawan wanita iaitu Niloufar Hamedi dan Elaheh Mohammadi yang mendedahkan kisah Amini.

"Kerajaan Iran cuba untuk menutup mulut sesiapa sahaja yang cuba untuk menyiasat dan melaporkan berita yang boleh memalukan kerajaan", kata Jonathan Dagher yang merupakan ketua RSF bagi meja Timur Tengah.

Tambah Dagher, terdapat 30 wartawan dan pekerja media ditahan kerajaan Iran. Kebanyakan mereka ditahan ketika rusuhan pada protes antikerajaan.

"Ali Pourtabatabaei wajar dibebaskan tanpa sebarang syarat. Pendakwaan terpilih kepada wartawan yang melaksanakan tugasnya perlu dihentikan", kata Dagher lagi.

Sementara itu, Kumpulan hak asasi Iran (IHR) yang berpengkalan di Norway berkata protes antikerajaan diadakan di beberapa bandar utama Iran termasuk Tehran, Mashhad dan Shiraz pada minggu ini berikutan kemarahan memuncak rakyat kepada kerajaan berkaitan kes keracunan makanan.

Kata kumpulan itu lagi, pihak berkuasa telah melepaskan beberapa das tembakan kepada penunjuk perasaan serta menahan guru-guru bagi menyuraikan protes di bandar Sanandaj, barat Iran.-AFP


(Para penunjuk perasaan di Iran berkumpul di bangunan kementerian pendidikan di
Tehran/Foto AFP)

Media Baharu