fb fb fb fb fb

Senat Perancis undi umur persaraan 64 tahun

(Gerard Larcher, Presiden Senat Perancis/AFP)

PARIS, 9 Mac- Senat Perancis pada Khamis mengundi untuk menaikkan umur persaraan sebanyak dua tahun daripada 62 tahun kepada 64 tahun, walaupun ia mendapat bantahan keras daripada kesatuan pekerja.

Badan perundangan yang didominasi konservatif mengundi menyokong usul berkenaan dengan 115 undian.

Pada masa sama, ahli politik liberal menyuarakan kemarahan terhadap usul itu dengan kesatuan pekerja berikrar untuk meningkatkan tekanan ke atas kerajaan.

Lebih sejuta penunjuk perasaan berarak di bandar dan pekan di seluruh Perancis pada Selasa dalam pusingan baharu bantahan serta mogok terhadap rancangan kerajaan untuk menaikkan umur persaraan tersebut.

Kesatuan sekerja menggesa lebih banyak bantahan hujung minggu diadakan dan memberi amaran keadaan boleh bertambah teruk sekiranya kerajaan tidak menarik balik rancangan itu.

Pindaan itu akan meningkatkan umur pencen minimum daripada 62 kepada 64 tahun dan memerlukan 43 tahun bekerja menjelang 2030 untuk memperoleh pencen penuh.

Kerajaan berhujah bahawa sistem sedia ada dijangka mengalami defisit dalam tempoh sedekad apabila penduduk Perancis semakin tua dan jangka hayat semakin panjang.

Perancis ketinggalan di belakang kebanyakan negara jirannya di Eropah, yang telah menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun ke atas. -AFP

 (Senat Perancis mengundi untuk menaikkan umur persaraan kepada
64 tahun pada 9 Mac 2023/AFP)

Media Baharu