WASHINGTON, 15 Januari- TikTok memberi jaminan bahawa kakitangan aplikasi di Amerika Syarikat (AS) akan terus terpelihara, menurut memo dalaman yang dikeluarkan syarikat itu.
Ia berikutan undang-undang di AS tidak membenarkan penggunaan aplikasi berkenaan di negara itu. Platform yang dimiliki oleh ByteDance yang berpangkalan di China itu mempunyai 7,000 pekerja di AS.
"Saya akan memastikan bahawa kesejahteraan anda adalah keutamaan. Kami memberi jaminan bahawa pekerjaan, gaji dan faedah pekerja kami di AS akan dipelihara.
"Pejabat kami akan kekal beroperasi, walaupun situasi ini tidak tidak dapat diselesaikan sebelum tarikh akhir iaitu pada 19 Januari," menurut memo berkenaan.
Mahkamah Agung AS dilihat cenderung kekal dengan keputusan undang-undang yang telah diluluskan pada April lalu, walaupun mendapat gesaan daripada Presiden terpilih AS Donald Trump dan penggubal undang-undang untuk melanjutkan tempoh berkenaan pada 19 Januari ini.
Trump berkata beliau sepatutnya mempunyai masa selepas memegang jawatan untuk meneliti perkara itu.
"Pasukan kepimpinan kami kekal fokus pada perancangan untuk pelbagai senario dan terus merancang ke hadapan. Rang undang-undang itu tidak ditulis dalam cara yang memberi kesan kepada entiti tetapi ia hanya pengalaman pengguna AS," tambah memo berkenaan.
Dalam pada itu TikTok akan berusaha untuk melindungi pekerja dan lebih 170 juta pengguna TikTok di Amerika Syarikat.
Sekiranya mahkamah tidak menyekat undang-undang menjelang Ahad, muat turun TikTok baharu menerusi aplikasi Apple atau Google akan dihentikan namun pengguna sedia ada masih boleh mengakses aplikasi itu.- Reuters