BEIRUT, 25 Oktober- Media rasmi Lubnan melaporkan bahawa tiga wartawan terbunuh dalam serangan udara Israel.
Menurut Agensi Berita Kebangsaan Lubnan (NNA), kesemua mangsa diserang pada pukul 3.30 pagi berhampiran sempadan Syria.
"Wartawan kami di Zahle melaporkan kematian tiga wartawan dalam serangan Israel di Hasbaya. Serangan itu mengenai sebuah hotel di Hasbaya, kira-kira 50 kilometer di selatan ibu negara Lubnan," lapor NNA.
Dalam kejadian berasingan, jet Israel memusnahkan dua bangunan dan menyebabkan kebakaran besar, dengan asap hitam menyelubungi kawasan tersebut.
"Serangan (Israel) yang menyasarkan kawasan Saint Therese juga menyebabkan runtuhan terhadap dua bangunan berhampiran Majlis Perlembagaan," lapor NNA.
Laporan NNA mengenai serangan di selatan Beirut semalam, setengah jam selepas Israel mengeluarkan amaran pemindahan di kawasan yang didakwa sebagai kubu kuat Hizbullah.
"Jet Israel melancarkan serangan baharu di kawasan Choueifat, selatan Beirut. Kawasan Haret Hreik dan Hadath turut diserang," lapor NNA.
Serangan Israel di Lubnan telah meragut sekurang-kurangnya 1,580 nyawa, menurut data Kementerian Kesihatan Lubnan yang dikumpul AFP, namun angka sebenar mungkin lebih tinggi disebabkan kekurangan data lengkap.
Jawatankuasa Melindungi Wartawan merekodkan sekurang-kurangnya 128 wartawan dan pekerja media terkorban di Gaza, Tebing Barat, Israel, dan Lubnan sejak konflik Israel-Hamas bermula pada Oktober tahun lalu.- AFP