KURUNEGALA, 26 September - Sekurang-kurangnya tujuh sami Buddha, termasuk tiga warga asing, maut dalam nahas kereta kabel di sebuah biara di Sri Lanka pada Rabu, lapor media tempatan.
Jurucakap polis berkata seramai 13 individu menaiki kereta kabel di Biara Na Uyana, terletak di kawasan pergunungan di tengah Sri Lanka yang meliputi lebih 5,000 ekar hutan.
Insiden berlaku sekitar pukul 9 malam waktu tempatan.
Daripada tujuh yang maut, tiga merupakan warga asing masing-masing dari India, Rusia dan Romania.
Menteri Luar Sri Lanka, Vijitha Herath, dalam hantaran di X menyatakan beliau “terkejut dengan pemergian para sami” akibat tragedi tersebut dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Menurut laman sesawang rasmi Biara Na Uyana, kompleks berkenaan merupakan salah satu biara hutan Buddha tertua di negara itu, yang wujud sejak abad ke-3 sebelum Masihi.
Lebih 200 sami menetap di kompleks tersebut yang juga menjadi tumpuan pengunjung untuk menyertai program meditasi dan aktiviti kerohanian. - REUTERS