SOBRAL, 26 September - Dua remaja maut manakala tiga lagi cedera selepas insiden tembakan di sebuah sekolah di negeri Ceara, timur laut Brazil pada Khamis, menurut pihak berkuasa.
Setiausaha Keselamatan Awam dan Pertahanan Sosial negeri itu memaklumkan, suspek yang tidak dikenali melepaskan tembakan dari kaki lima luar kawasan sekolah di bandar Sobral, menyasarkan mangsa di kawasan tempat letak kereta.
Tiga mangsa cedera segera dihantar ke hospital berdekatan.
Identiti mangsa belum didedahkan dan pihak berkuasa masih belum mengesahkan sama ada mereka adalah pelajar.
Gabenor Elmano de Freitas menyifatkan insiden itu sebagai “kejadian paling serius dan tidak boleh diterima”.
“Saya telah mengarahkan kepimpinan Sekretariat Keselamatan Awam untuk turun ke daerah terlibat dan mengambil semua langkah perlu,” katanya dalam hantaran di X, sambil menzahirkan simpati kepada keluarga serta sahabat mangsa.
Sobral sebelum ini pernah digemparkan dengan insiden sama pada 2022 apabila seorang remaja melepaskan tembakan terhadap tiga rakan sekelas hingga menyebabkan seorang terbunuh.
Menurut Forum Keselamatan Awam Brazil, Ceara mencatatkan kadar kematian ganas ketiga tertinggi di Brazil.
Pada 2024, negeri itu merekodkan kadar 37.5 pembunuhan bagi setiap 100,000 penduduk, peningkatan 11 peratus berbanding 2023. - REUTERS