SANAA, 26 September - Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh manakala lebih 140 lagi cedera selepas Israel melancarkan serangan udara besar-besaran di ibu negara Yaman, Sanaa, menurut pihak berkuasa Houthi.
Serangan yang disifatkan sebagai tindakan balas tidak berperikemanusiaan itu menyasarkan beberapa kawasan penempatan, sebuah pusat tahanan serta infrastruktur awam, sekali gus menambah derita rakyat Yaman yang sudah lama terhimpit akibat peperangan.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Houthi, Anees Alasbahi berkata jumlah korban dijangka meningkat kerana operasi mencari mangsa masih diteruskan di bawah runtuhan bangunan.
Media Houthi, Al-Masirah, melaporkan Israel turut mengebom kawasan kediaman dan sebuah stesen janakuasa elektrik.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mendakwa serangan itu menyasarkan ‘kemudahan tentera Houthi’, namun kenyataan itu dipersoalkan kerana kebanyakan sasaran adalah kawasan awam termasuk pusat tahanan yang menempatkan orang awam.
Serangan udara itu berlaku hanya sehari selepas serangan dron dilancarkan Houthi ke selatan Israel, yang menyebabkan lebih 20 orang cedera.
Israel sebelum ini berikrar akan melancarkan serangan lebih besar terhadap Yaman.
Pemerhati antarabangsa menyifatkan tindakan Israel sebagai melampau dan berisiko memburukkan lagi konflik serantau, selain meningkatkan jumlah korban orang awam.
Sejak permulaan perang Gaza pada 2023, Israel kerap melakukan serangan di Yaman yang mengorbankan ratusan nyawa termasuk wartawan dan pekerja media. - AFP