PARIS, 27 Disember - Polis Perancis menahan seorang lelaki yang disyaki menikam tiga wanita di metro Paris ketika isambutan akhir tahun.
Ketiga-tiga mangsa ditikam di tiga lokasi berbeza sepanjang laluan Metro Line 3 yang melalui pusat bandar Paris, menurut RATP, pihak berkuasa pengendali perkhidmatan transit.
Serangan berlaku antara 4.15 hingga 4.45 petang di stesen Republique, Arts et Metiers dan Opera, berhampiran kawasan Marais.
“Mangsa segera mendapat rawatan daripada pasukan kecemasan,” kata pihak berkuasa.
Polis menggunakan rakaman kamera litar tertutup dan alat pengesanan telefon bimbit untuk menjejaki suspek di wilayah Val d’Oise, utara Paris.
“Pengesanan lokasi telefon bimbitnya membawa kepada penahanan suspek lewat petang di Val d’Oise,” kata pejabat pendakwa raya.
Pasukan keselamatan tambahan dikerahkan untuk menguatkuasakan keselamatan sepanjang laluan metro.
Ibu kota Eropah kini lebih berwaspada pada musim perayaan akhir tahun susulan serangan dan cubaan keganasan sebelum ini.
Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nunez, menggesa pegawai kanan supaya memastikan pengawasan maksimum dan kehadiran keselamatan yang jelas bagi mengurangkan risiko keganasan dan kekacauan awam.-AFP