fb fb fb fb fb

Tiga terbunuh dalam serangan di timur Ukraine

KIEV, 29 Januari- Tiga orang terbunuh dan lebih 12 orang cedera berikutan serangan Rusia ke atas bandar Konstantynivka di timur Ukraine, kata gabenor tempatan pada Sabtu.

"Rusia melepaskan tembakan ke kawasan kejiranan kediaman telah merosakkan empat bangunan bertingkat, sebuah hotel, garaj dan kereta awam," kata gabenor wilayah Donetsk, Pavlo Kyrylenko di media sosial.

"Tiga orang awam terbunuh. Sekurang-kurangnya dua cedera," katanya.

Sebanyak 14 orang yang cedera menurut Kyrylenko yang memberikan jumlah terkini berkenaan insiden itu.

Kyrylenko berkata pekerja penyelamat dan polis berada di tempat kejadian, "membantu orang ramai dan berhati-hati mendokumentasikan satu lagi jenayah Rusia."

Imej di akaun Telegram Kyrylenko menunjukkan tingkap pecah di bangunan pangsapuri dengan serpihannya bertaburan di sebuah kereta hangus terbakar.

Menurut kementerian pertahanan Ukraine, Rusia melakukan serangan ke atas Konstantynivka dengan beberapa pelancar roket.

Hampir setahun selepas pencerobohan ke atas Ukraine, Moscow berusaha untuk merebut kawalan seluruh wilayah Donetsk, yang telah diisytiharkan sebagai sebahagian daripada Rusia.

Tentera Rusia telah meningkatkan serangan mereka di timur, terutamanya di bandar Vugledar dan Bakhmut pada minggu ini.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata pada Jumaat keadaan "semakin meruncing", terutamanya di wilayah Donetsk.- AFP

(Rumah Oleksandr Pykhtin musnah akibat serangan roket di Chasiv Yar/AFP)

Media Baharu