fb fb fb fb fb

Tiga negara sokong Biden kenakan sekatan ke atas Rusia

WASHINGTON, 23 Februari - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dilapor sedang berunding bersama ekonomi-ekonomi besar Asia bagi mendapatkan sokongan untuk mengenakan sekatan dan kawalan eksport ke atas Rusia ketika ketegangan antara Rusia dan Ukraine terus memuncak.

Setakat ini, Washington dikatakan telah mendapat sokongan Singapura, Jepun dan Taiwan.

Ia sebahagian daripada pakej sekatan yang lebih luas bagi melumpuhkan ekonomi dan sektor teknologi Rusia sekiranya Kremlin mengambil langkah menceroboh Ukraine secara besar-besaran.

Singapura, Jepun dan Taiwan merupakan pengeluar utama semikonduktor, cip komputer serta barangan teknologi eksport lain yang diimport Rusia.

Sebarang sekatan ekonomi terhadap Rusia turut akan mengakibatkan impak susulan melangkaui sempadan Eropah.

Jika berkuat kuasa, lebih banyak sektor ekonomi Rusia akan terkesan.

Ia termasuk menyekat Rusia daripada mengimport teknologi kritikal buat sektor minyak dan gas, maritim, pertahanan dan penerbangan, serta menyekat pengimportan kereta, telefon pintar dan barangan elektronik lain.

Media Baharu