fb fb fb fb fb

Tiga maut, gempa bumi menggegar selatan Iran

TEHRAN, 2 Julai- Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan 19 lagi cedera apabila gempa bumi kuat menggegarkan selatan Iran, menurut agensi berita IRNA.

Gempa bumi berukuran 6.0 magnitud melanda 100 kilometer (60 batu) barat daya bandar pelabuhan Bandar Abbas di wilayah Hormozgan, kata Pusat Kajian Geologi AS (USGS).

Tiga orang terbunuh di kampung Sayeh Khosh yang terletak berhampiran dengan pusat gempa.

Seorang Ahli Majlis Islam kampung tersebut berkata tiga mayat itu telah ditarik dari runtuhan.

Gempa itu berlaku hanya seminit selepas gegaran berukuran 5.7 magnitud.

Seorang terbunuh pada November tahun lalu apabila wilayah Hormozgan dilanda gempa berkembar 6.4 dan 6.3 magnitud.

Terletak di pinggir beberapa plat tektonik dan melintasi pelbagai garisan sesar, Iran ialah kawasan aktiviti seismik yang kuat.

Gempa paling dahsyat di Iran berukuran 7.4 magnitud yang melanda pada 1990, mengorbankan 40,000 orang di utara negara itu. - AFP


(Rakyat Iran berkumpul di luar bangunan selepas gempa bumi dirasai di ibu negara, Tehran pada 7 Mei 2020 / AFP)

Media Baharu