ATHENS, 10 April- Sekurang-kurangnya tiga pendatang ditemui mati selepas bot mereka melanggar batu di Pulau Chios di Laut Aegean, dekat Turkiye, kata pengawal pantai hari ini.
Pegawai pengawal pantai berkata operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan.
Tiga kapal tentera laut telah menyelamatkan 17 pendatang, termasuk lapan kanak-kanak bawah umur, dalam bot yang berlepas dari Turki semalaman.
Tidak jelas berapa ramai orang yang menaiki bot itu, kata pihak berkuasa.
Greece menjadi pintu masuk dan laluan pilihan utama digunakan ke Kesatuan Eropah untuk pendatang dan pelarian dari Asia Barat, Afrika dan Asia sejak 2015 dengan hampir satu juta orang mendarat di pulau, di sini.
Pihak berkuasa telah dimaklumkan oleh tiga penumpang yang berjaya sampai ke pantai Chios pada waktu malam, menurut penyiar awam ERT.
Lebih 11,300 ketibaan telah direkodkan di pulau-pulau Greece sejak awal tahun ini, menurut Pejabat Pesuruhjaya Tinggi bagi Pelarian.
Kira-kira 45,000 pencari suaka tiba di Greece pada 2023, kebanyakannya berlepas dari pulau berhampiran pantai Turki.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, ini adalah jumlah tertinggi dalam tempoh empat tahun.
Pada Jun 2023, seramai 82 orang didapati lemas dan ratusan hilang apabila kapal mereka karam di luar pantai Pylos.
Beberapa siasatan mengenai tragedi itu masih dijalankan, dengan beberapa NGO mendakwa pengawal pantai Greece menangguhkan respons mereka untuk membantu mereka.- AFP