BOULOGNE-SUR-MER, 10 September - Tiga pendatang maut dipercayai akibat dihimpit dalam bot sesak, manakala tiga lagi dilaporkan hilang dalam dua insiden berasingan ketika cuba menyeberangi Selat Inggeris dari utara Perancis.
Menurut pegawai wilayah Pas-de-Calais, Laurent Touvet, mangsa terdiri daripada seorang wanita dan dua lelaki, berkemungkinan termasuk dua remaja.
Mereka ditemukan bersama kumpulan pendatang lain yang diselamatkan berhampiran pantai Sangatte pada awal pagi Rabu.
Tiga lagi mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala siasatan sedang dijalankan oleh pihak pendakwa raya Boulogne-sur-Mer.
Dalam insiden berasingan pada Selasa, tiga pendatang hilang di laut berhampiran Neufchatel-Hardelot selepas bot mereka karam. Seorang berjaya diselamatkan selepas hampir lemas.
Sejak awal tahun ini, sekurang-kurangnya 23 kematian dilaporkan berkaitan percubaan menyeberangi Selat Inggeris menggunakan bot kecil dan sesak.
Lebih 30,000 pendatang dilaporkan telah berjaya melakukan perjalanan berbahaya itu, menjadikan isu migrasi rentas Selat Inggeris sebagai titik ketegangan utama antara Perancis dan Britain. -AFP