fb fb fb fb fb

Kamera pemantau rakam puting beliung di timur Australia

Tangkap layar daripada sebuah kamera pemantau kebakaran hutan di New South Wales, Australia yang berjaya merakam detik dramatik puting beliung yang terbentuk ketika ribut petir/ Foto AFP

SYDNEY, 11 September – Sebuah kamera pemantau kebakaran hutan di New South Wales, Australia, berjaya merakam detik dramatik puting beliung yang terbentuk ketika ribut petir melanda kawasan pedalaman, pada Rabu.

Fenomena itu berlaku berhampiran bandar Young, di wilayah Hilltops, kira-kira 260 kilometer dari Sydney.

Rakaman menunjukkan ekor puting beliung berpusing dari tanah hingga ke awan gelap yang menutupi langit.

Biro Meteorologi Australia mengesahkan dua puting beliung dikesan pada hari sama, termasuk satu lagi yang berlaku kira-kira 70 kilometer dari lokasi pertama.

Pihak berkuasa mengeluarkan amaran ribut dengan risiko angin kencang dan hujan batu besar.

Penduduk turut dinasihatkan supaya berlindung di dalam rumah, meletakkan kenderaan di kawasan terlindung serta mengikat barang-barang longgar di luar.

Tiada laporan kecederaan setakat ini.

Menurut Inspektor Perkhidmatan Kebakaran New South Wales, James Morris, menara pemantau kebakaran dilengkapi kamera automatik untuk mengesan asap, haba serta memantau sel ribut kerana risiko kilat boleh mencetuskan kebakaran rumput.

“Musim ini, kawasan padang rumput mempunyai bahan bakar yang tinggi akibat hujan berpanjangan dan cuaca panas. Apabila rumput itu kering, ia menambah risiko besar kebakaran,” katanya. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN