fb fb fb fb fb

Tiga lelaki Iran didakwa mengintip , Duta Iran ke UK dipanggil

foto AFP

LONDON, 20 Mei – Kementerian Luar Negeri United Kingdom (UK) memanggil Duta Iran, Seyed Ali Mousavi, selepas tiga lelaki yang dikaitkan dengan Iran didakwa di mahkamah kerana melakukan aktiviti pengintipan untuk Tehran sejak Ogos 2024 hingga Februari 2025.

Setiausaha Kementerian Dalam Negeri UK, Yvette Cooper ketika berucap di dalam parlimen menegaskan, keselamatan negara menjadi keutamaan dan Iran perlu bertanggungjawab atas dakwaan tersebut.

"Kami tidak akan bertolak ansur. Ia adalah ancaman kepada keselamatan domestik dan ia perlu dihentikan," katanya.

Ketiga-tiga suspek, yang tinggal di London, dikenal pasti sebagai Mostafa Sepahvand, 39 tahun, Farhad Javadi Manesh, 44 tahun dan Shapoor Qalehali Khani Noori, 55 tahun.

Kesemua suspek turut didakwa di bawah Akta Keselamatan Negara, kerana merancang serangan terhadap wartawan Iran yang bekerja dengan syarikat televisyen berbahasa parsi berpengkalan di London.

Dalam pada itu, Iran turut memanggil wakil diplomat British di Tehran sebagai tindak balas dan menyatakan bantahan terhadap penahanan tersebut.

Ia dianggap sebagai bermotifkan politik serta pelanggaran undang-undang antarabangsa kerana kesemua suspek masih belum disahkan sebagai warganegara Iran dan mempunyai kaitan dengan sebarang kegiatan pengintipan seperti yang didakwa oleh kerajaan UK.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN