fb fb fb fb fb

Tiga laluan kontra atasi kesesakan di ibu negara

(Foto hiasan)

PUTRAJAYA, 19 Mei- Tiga laluan kontra akan dibuka pada 3 Julai ini bagi mengurangkan kesesakan jalan raya di ibu negara.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke langkah segera ini diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Mengenai Kesesakan Jalan Raya (JTMKJR).

"Mesyuarat telah bersetuju untuk melaksanakan laluan kontra dari laluan tol PLUS Sg Besi ke Persimpangan BES Raya melibatkan jarak 2.4 kilometer. Ia akan dibuka kepada semua jenis kenderaan persendirian kecuali motosikal. Ini adalah laluan dari arah selatan yang masuk ke KL, selepas Tol Sg Besi, sepanjang 2.4kilometer sampailah ke persimpangan BES Raya," kata Anthony selepas selesai Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kesesakan Jalan Raya di sini

Mesyuarat turut memutuskan lalauan kontra di Jalan Cheras dipanjangkan dari Jalan Maharajalela ke Taman Connaught arah selatan pada sebelah petang.

Satu lagi laluan kontra khas akan dibuka kepada perkhidmatan Pengangkutan Awam bermula dari Jalan Ampang ke Jalan Tun Razak melibatkan jarak 3 kilometer.

Tambah beliau berdasarkan data Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sebanyak enam juta kenderaan memasuki Kuala Lumpur dalam tempoh 24 jam dengan 2.2 juta kenderaan dicatatkan pada waktu pagi.

(Anthony Loke berkata tiga laluan kontra atasi kesesakan di ibu negara)

Sementara itu, Anthony menasihati kontraktor pembinaan diminta mematuhi tempoh penutupan jalan yang dimohon bagi mengelak kesesakan jalan raya khususnya di Kuala Lumpur, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau juga meminta pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar bertindak lebih tegas dan tidak sewenang-wenangnya meluluskan pelanjutan tempoh penutupan jalan yang dimohon.

"Saya telah menyatakan dalam mesyauarat jawatankuasa tadi dan meminta DBKL supaya lebih tegas dari segi permohonan untuk melanjutkan tempoh penutupan jalan.

'Maksudnya kalau sesebuah syarikat pemaju melaksanakan projek pembangunan, apabila mereka memohon untuk menutup lorong atau pun jalan di mana-mana.

"Satu kawasan dia ada satu tempoh yang diberikan, biasanya tempoh itu tidak panjang. Tiga bulan paling panjang pun enam bulan. Tapi realitinya selalunya berlaku walaupun tempoh yang diberikan itu pendek tetapi dia ditutup lebih panjang, ia minta lanjutan dan sebagainya," kata Anthony kepada media di sini.

Beliau memaklumkan setakat ini terdapat tujuh projek yang melibatkan penutupan jalan di Kuala Lumpur.



Media Baharu