fb fb fb fb fb

Gula putih premium dalam bungkusan hijau belum dipasarkan

(Foto fail)

PUTRAJAYA, 19 Mei - Gula super atau gula putih premium dalam bungkusan hijau yang tular di media sosial baru-baru ini masih belum dipasarkan di Malaysia, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata syarikat pengeluar utama gula iaitu MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) mengesahkan bahawa gula dalam gred itu belum dikeluarkan dan dipasarkan dalam negara.

Dalam kenyataan di sini hari ini beliau berkata sebarang pengenalan gula baharu di pasaran perlu mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terlebih dahulu kerana gula adalah barangan kawalan berjadual.

Mengenai dakwaan kononnya berlaku kenaikan harga gula putih, menurutnya gula putih bertapis satu kg masih mengikut harga kawalan runcit semasa iaitu RM2.85/kg (gula kasar) dan RM2.95/kg (gula halus).

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai pengenalan dan penjualan gula super atau gula premium dalam bungkusan hijau yang dikatakan dijual pada harga RM4.60 sekilogram. -BERNAMA

(Gula putih premium dalam bungkusan hijau belum dipasarkan)

Media Baharu