fb fb fb fb fb

Tiga cedera dalam rusuhan polis-petani atas isu subsidi EU

Foto REUTERS

GREECE, 1 Disember -Tiga orang cedera pada Ahad dalam rusuhan antara polis dan para petani yang menyekat lebuh raya nasional sebagai bantahan terhadap pengurangan subsidi pertanian Kesatuan Eropah (EU).

Para petani Greece mendakwa mereka mengalami kerugian besar akibat wabak sheep pox yang menjejaskan ternakan, selain penyiasatan EU terhadap penipuan subsidi berskala besar yang telah melambatkan pembayaran kepada penerima sah.

Polis melepaskan gas pemedih mata apabila ratusan traktor dibawa untuk menyekat lebuh raya nasional Athens–Thessaloniki berhampiran bandar Larissa, kira-kira 350 kilometer barat laut Athens.

Menurut polis, tiga individu ditahan, namun para petani tetap berjaya menutup laluan lebuh raya tersebut menjelang protes tambahan yang dirancang minggu hadapan.

“Kami akan terus berada di sini sehingga kerajaan memberi penyelesaian,” kata pemimpin kesatuan petani tempatan, Costas Tzelas, kepada media.

Timbalan Menteri Pertanian, Christos Kellas, memberitahu stesen TV negara ERT bahawa para petani menerima subsidi EU yang lebih rendah kerana siasatan terhadap tuntutan palsu masih berjalan.

“Mereka menerima 100 juta euro kurang pada peringkat ini,” katanya. “Selepas proses rayuan, mereka yang layak akan menerima dana masing-masing.”

Para petani mengumumkan bahawa mereka akan meningkatkan lagi siri protes di banyak bandar seluruh negara dalam beberapa hari akan datang.

Kerajaan menegaskan bahawa tiada petani sah yang akan kehilangan subsidi sebaik sahaja siasatan selesai.

Penternak turut menuntut pampasan selepas lebih 400,000 ekor biri-biri dan kambing terpaksa dilupuskan akibat wabak sheep pox bagi menghalang penularan penyakit itu.

Namun pihak berkuasa menolak tuntutan petani untuk membenarkan vaksinasi terhadap ternakan, dengan alasan tiada bukti kukuh menunjukkan langkah tersebut berkesan.

Pada Sabtu, pegawai kastam merampas 8,000 dos vaksin ternakan yang diimport secara haram dari Turkiye.

Skandal subsidi pertanian itu didedahkan oleh pendakwa EU pada Mei. - AFP

TETITIA YUSOFF