fb fb fb fb fb

Tiga banduan paling bahaya di Ecuador dipindahkan

(Ketua kumpulan jenayah Los Choneros, Jose Adolfo Macías Villamar atau "Fito" merupakan
salah 
seorang banduan paling bahaya di Ecuador)

GUAYAQUIL, 13 Ogos- Tiga banduan paling bahaya di Ecuador dipindahkan ke penjara La Roca di Quito, sebuah penjara yang dilengkapi ciri keselamatan maksimum yang memuatkan hanya seramai 150 banduan sahaja.

Jose Adolfo Macías Villamar dikenali sebagai "Fito"; Tomas Daniel Piguave Candelario dikenali sebagai "Gordo Candela" atau "Candelario"; dan Freddy Gonzalo Mendoza Fernández dikenali sebagai "Gordo Mendoza" dipindahkan semalam dari Penjara No. 4 Guayaquil di sini dengan kawalan ketat daripada polis dan tentera.

Sebelum operasi pemindahan itu, setiap sel penjara terbabit turut digeledah untuk keselamatan.

Rakaman yang dikeluarkan polis menunjukkan banduan dengan hanya memakai seluar dalam diarah meniarap di atas lantai ketika pengeledahan berkenaan dijalankan.

Barang terlarang seperti dadah, ganja, kokain, peluru, bunga api, telefon bimbit dan peralatan elektrik yang tidak dibenarkan dirampas dalam operasi tersebut.

Operasi terbabit melibatkan seramai 3,600 anggota keselamatan dan merupakan campur tangan kelima melibatkan ketenteraan sejak perintah darurat penjara dikuatkuasakan pada 24 Julai lalu susulan tragedi rusuhan besar di penjara Guayas 1 di sini yang membunuh sekurang-kurangnya 31 banduan serta mencederakan 11 anggota polis.

Banduan berbahaya, Fito dituduh terlibat sebagai dalang pembunuhan calon presiden, Fernando Villavicencio pada 9 Ogos lalu.

Seminggu sebelum dibunuh, mangsa dilaporkan mengadu telah menerima ugutan bunuh daripada Fito yang merupakan ketua kumpulan jenayah Los Choneros. -Reuters

(Banduan di Penjara No. 4 Guayaquil di Ecuador)

Media Baharu