SINGAPURA, 13 Ogos - Penganjuran perhimpunan adalah tidak digalakkan sempena Pilihan Raya Presiden Singapura yang berlangsung, bulan depan.
Jabatan Pilihan Raya (ELD) memaklumkan ini kerana tiada tapak khusus ditetapkan untuk tujuan tersebut.
ELD menerusi kenyaatan menjelaskan perhimpunan pilihan raya berkemungkinan akan mengakibatkan perpecahan, serta ia tidak selaras dengan semangat perpaduan yang diperjuang Presiden dipilih.
Pilihan Raya Presiden Singapura akan diadakan pada 1 September nanti sekiranya jawatan itu ditandingi lebih dari satu calon.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 22 Ogos ini,selain pemantauan tamat tempoh kempen akan dibuat pada malam hari pengundian dan semasa pengundian ditutup.
Menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pilihan Raya Presiden (Pindaan) yang diluluskan pada 2017, kerajaan tidak akan lagi menetapkan sebarang tapak perhimpunan sempena pilihan raya berkenaan selepas Suruhanjaya Perlembagaan memutuskan untuk tidak menggalakkan penganjuran terbabit.
Tambah ELD, platform televisyen akan menjadi medium utama kempen pilihan raya berikutan ia mempunyai jangkauan nasional.
ELD juga memberi amaran terhadap sebarang cubaan campur tangan asing, serta menggalakkan rakyat Singapura sentiasa berwaspada untuk memelihara integriti pilihan raya.-REUTERS