fb fb fb fb fb

Iraq tarik balik sekatan ke atas aplikasi Telegram

(Foto hiasan)

ERBIL, 13 Ogos- Kementerian Telekomunikasi Iraq akan menarik balik sekatan yang dikenakan ke atas aplikasi Telegram.

Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan keputusan dibuat, susulan tindak balas pemilik platform itu terhadap permintaan pihak berkuasa keselamatan agar mendedahkan entiti yang membocorkan data rakyat.

Syarikat tersebut turut menyatakan kesediaan penuh untuk berkomunikasi dengan pihak berkuasa berkaitan.

Wakil media Telegram memberitahu Reuters bahawa "menyiarkan data peribadi tanpa persetujuan adalah dilarang oleh syarat perkhidmatan Telegram.


(Foto REUTERS)

"Kami boleh mengesahkan bahawa moderator kami membawa keluar beberapa saluran yang berkongsi data peribadi. Walau bagaimanapun, kami juga boleh mengesahkan bahawa tiada data pengguna peribadi diminta daripada Telegram dan tiada satu pun telah dikongsi", katanya.

Aplikasi tersebut digunakan secara meluas di Iraq untuk pemesejan dan juga sebagai sumber berita dan untuk berkongsi kandungan.

Minggu lalu kementerian itu berkata bahawa syarikat itu tidak memberi maklum balas untuk menutup platform yang membocorkan data institusi rasmi negara dan data peribadi rakyat.

Penggunaan Telegram di Iraq disekat awal minggu ini, ekoran kebimbangan berhubung isu keselamatan serta kebocoran data institusi rasmi negara dan rakyat.-REUTERS

Media Baharu