fb fb fb fb fb

14 orang terbunuh selepas diserang kumpulan militan

(Foto Fail)

BANDUNDU, 13 Ogos- Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dalam satu serangan di sebuah perkampungan di barat daya Republik Demokratik Congo (DRC) berhampiran sempadan Angola.

Jurucakap kerajaan wilayah Kwango, Adelard Nkisi berkata kesemua mangsa di Ipongi terbunuh akibat ditembak dan diserang menggunakan parang.

"Kejadian berlaku selepas mereka diserang oleh kumpulan militan. Kumpulan militan dikatakan mahu melepaskan empat rakan mereka yang masih dalam tahanan," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, pemimpin masyarakat sivil di wilayah Kwango, Symphorien Kwengo berkata penduduk kampung menyalahkan pergerakan kumpulan bersenjata iaitu Mobondo, yang ditubuhkan di wilayah jiran Mai-Ndombe tahun lalu.

Kwengo berkata pihaknya sedang mengambil langkah bersesuaian untuk mengawal keadaan tersebut.

Konflik tercetus di wilayah Mai-Ndombe pada Jun 2022 berhubung pertikaian tanah antara orang Teke dan kumpulan yang bukan berasal dari kawasan itu.

Pertempuran merebak ke wilayah jiran Kwango, Kwilu dan Kinshasa.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan lebih 3,000 orang terbunuh dalam konflik antara Jun 2022 hingga Julai 2023 itu.

Kerajaan DRC meletakkan angka kematian kepada 180 orang dan angka tersebut tidak berubah sejak 2022.- AFP


(Foto Hiasan)

Media Baharu