fb fb fb fb fb

Tiada lagi kelibat orang utan Tapanuli selepas bencana di Sumatera Utara

Foto arkib / REUTERS

SIPIROK, 9 Disember –Kesukaran mengesan orang utan Tapanuli di Sumatera Utara selepas tanah runtuh dan banjir melanda kawasan itu dua minggu lalu mencetuskan kebimbangan.

Renjer pemuliharaan di Orangutan Information Centre (OIC), Amran Siagian berkata, sebelum bencana berlaku, haiwan terancam itu kerap muncul di kawasan bukit dan ladang berhampiran.

“Dulu kami selalu nampak orang utan, siamang dan burung enggang. Sekarang, selepas bencana, kami tidak nampak mereka lagi,” katanya.

Sementara itu, menurut pengasas OIC, Panud Hadisiswoyo, bencana tersebut telah menjejaskan habitat orang utan, terutama di kawasan lereng yang menjadi tempat mereka tinggal.

Beliau percaya sebahagian orang utan mungkin turut dihanyutkan banjir atau tanah runtuh ketika cuba berpindah dari kawasan yang terkesan.

Panud berkata, sekitar 760 orang utan Tapanuli hidup di kawasan itu dan keadaan habitat mereka sudah pun terjejas lama sebelum bencana berlaku.

"Kawasan kaki bukit telah ditukar menjadi kebun, ladang, lombong emas dan projek hidrokuasa, menyebabkan orang utan terpaksa tinggal di bahagian cerun yang lebih tinggi dan lebih berisiko.

Keadaan itu menyukarkan mereka kembali ke kawasan asal apabila bencana melanda," ujarnya.

Setakat Selasa, banjir dan tanah runtuh akibat siklon telah mengorbankan 962 orang di Indonesia, manakala 291 lagi hilang.

Bencana sama turut meragut sekitar 200 nyawa di selatan Thailand dan Malaysia. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN