fb fb fb fb fb

Taufan Ditwah lumpuhkan usaha pemulihan Sri Lanka, kos cecah AS$7 bilion

Foto REUTERS

COLOMBO, 9 Disember – Pemulihan semula ekonomi Sri Lanka yang masih rapuh dijangka tertangguh susulan kemusnahan besar akibat badaian Taufan Ditwah, yang meranapkan ribuan rumah, jalan raya serta tanaman penting, sekali gus mendorong lebih ramai keluarga jatuh ke lembah kemiskinan.

Pesuruhjaya Perkhidmatan Asas Sri Lanka, Prabath Chandrakeerthi memberi amaran, kos pemulihan boleh mencecah sehingga AS$7 bilion, sambil menggesa rakan multilateral serta penderma antarabangsa tampil membantu.

Krisis ekonomi terburuk dalam beberapa dekad, yang memuncak pada 2022, telah menggandakan kadar kemiskinan negara itu kepada hampir 25% daripada populasi 22 juta penduduk.

Meskipun bantuan kewangan AS$2.9 bilion daripada IMF berjaya mencetuskan pemulihan awal, dengan pertumbuhan diunjurkan sekitar 4.5% tahun ini, namun penganalisis menjangkakan pertumbuhan akan menyusut kepada kira-kira 3% pada 2026 berikutan impak Ditwah.

Taufan Ditwah yang melanda pada hujung November, kini direkodkan sebagai bencana alam paling dahsyat sejak tsunami 2004, mengakibatkan 635 kematian dan menjejaskan kira-kira 10% penduduk negara itu.

Pada masa sama turut memusnahkan infrastruktur kritikal dan tanaman utama seperti padi dan teh.

"Taufan Ditwah melanda kawasan yang sudah pun terkesan akibat tekanan ekonomi bertahun-tahun," kata Wakil Residen Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP) Azusa Kubota, di Sri Lanka.

Menurut Kubota, proses pemulihan dijangka lebih perlahan dan menelan kos tinggi di kawasan yang berdepan dua situasi kritikal, iaitu antara banjir besar dan tahap kerentanan yang tinggi.

Sehubungan itu, kerajaan Sri Lanka telah memohon dana kecemasan AS$200 juta daripada IMF, yang kini menilai permohonan tersebut.

Pasukan IMF dijadual membuat lawatan pada Januari 2026 untuk penilaian baharu sebelum meluluskan pembayaran dana keenam di bawah program asal pembiayaan.

Analisis terbaharu UNDP menunjukkan banjir akibat taufan Ditwah telah menenggelami hampir 20% kawasan tanah negara, menjejaskan kira-kira 2.3 juta penduduk di kawasan terbabit.

Menyaksikan Sri Lanka tidak mampu menambah hutang bagi usaha pembinaan semula ekonomi negara.

Dalam pada itu penganalisis menjangkakan beberapa reformasi termasuk penstrukturan semula syarikat milik kerajaan yang mengalami kerugian, mungkin tertunda kerana Colombo kini memberi tumpuan kepada pemulihan pascataufan.

"Industri pakaian bernilai AS$5 bilion dan industri teh bernilai AS$1.5 bilion, yang secara kolektif menggaji lebih sejuta pekerja, turut bergelut selepas taufan, dengan kilang-kilang melaporkan kadar kehadiran pekerja yang rendah selama dua minggu," menurut pegawai industri.

“Disebabkan hujan, banjir dan hakisan tanah, pengeluaran teh dijangka berkurang sebanyak 3 hingga 4 juta kilogram pada Disember,” kata jurucakap Persatuan Peladang, Roshan Rajadurai.

Pada kebiasaannya, Sri Lanka menghasilkan sekitar 20 juta kilogram teh pada bulan Disember, dan antara 200 hingga 250 juta kilogram setahun, yang dieksport ke negara seperti Iraq, Rusia dan Turkiye.

Ribuan pesawah pula baru sahaja selesai menanam bagi musim utama ketika taufan melanda.

Pertubuhan Bangsa Bersatu menganggarkan 575,000 hektar sawah musnah daripada keseluruhan 800,000 hektar di seluruh negara. - REUTERS

EZA YUSMAWATI YAACOP