fb fb fb fb fb

Thaksin mula jalani hukuman penjara selepas arahan mahkamah

Bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra/REUTERS

BANGKOK, 10 September -Bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra, memulakan hari pertamanya secara rasmi di dalam penjara pada Rabu selepas Mahkamah Agung negara itu memutuskan bahawa beliau sebelum ini menjalani hukuman penjara secara tidak sah di hospital.

Keputusan mahkamah pada Selasa menjadi satu tamparan hebat terhadapnya, apabila para hakim mengarahkan pemindahan Thaksin, 76, ke Penjara Reman Bangkok.

Beberapa jam kemudian, beliau dipindahkan ke Penjara Klong Prem yang dijangka akan menjalani baki hukuman penjara selama satu tahun, menurut kenyataan Jabatan Penjara Thailand.

Setakat Rabu, jabatan tersebut belum mengeluarkan sebarang maklumat lanjut berhubung status kesihatan atau keadaan Thaksin.

Thaksin dipilih sebagai Perdana Menteri pada tahun 2001 dan 2005, namun penggal keduanya terhenti selepas beliau digulingkan dalam satu rampasan kuasa oleh tentera.

Beliau kemudian menjalani hidup dalam buangan selama bertahun-tahun.

Pada Ogos 2023, Thaksin pulang ke Thailand dan dijatuhi hukuman lapan tahun penjara atas kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Bagaimanapun, beliau tidak pernah bermalam di dalam sel penjara, sebaliknya dibawa terus ke sebuah hospital swasta dengan alasan masalah kesihatan.

Hukuman beliau kemudiannya dikurangkan kepada satu tahun melalui pengampunan diraja, sebelum diberikan pembebasan awal di bawah skim khas untuk banduan warga emas. - AFP

TETITIA YUSOFF