fb fb fb fb fb

Thaksin dilihat meninggalkan hospital

Wartawan REUTERS melihat Thaksin dalam sebuah van Mercedes berwarna hitam, memakai baju hijau dan pelitup muka, duduk di sebelah anak perempuannya, Paetongtarn Shinawatra, sebelum konvoi kenderaan meninggalkan hospital/ REUTERS

BANGKOK, 18 Februari- Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, dilihat menaiki kenderaan awal pagi tadi meninggalkan hospital di mana dia ditahan sejak enam bulan lalu, menurut saksi Reuters.

Menurut Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin, dalam kenyataan sebelum ini, Thaksin, 74, dijadualkan untuk pembebasan di bawah parol hari ini dan ia disahkan sudah dibebaskan oleh peguam Thaksin, Winyat Chartmontri.

Thaksin antara pemimpin popular Thailand, menguasai politik negara itu selama hampir dua dekad, meskipun hidup dalam buangan atas pilihan sendiri selama 15 tahun bagi mengelakkan hukuman.

Jutawan kontroversi itu, yang dua kali dipilih sebagai perdana menteri dan digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa sekembalinya ke Thailand pada Ogos lalu.

Ia merupakan kebebasan pertama Thaksin di Thailand sejak meninggalkan negara itu hampir 16 tahun lalu susulan rampasan kuasa.

Dia kembali ke Thailand pada Ogos lalu dengan disambut penyokongnya dan terus dibawa ke penjara untuk menjalani hukuman lapan tahun.

Bagaimanapun, dia dipindahkan ke hospital pada hari yang sama kerana masalah kesihatan dan ditahan di sana selama enam bulan lalu.

Wartawan REUTERS melihat Thaksin dalam sebuah van Mercedes berwarna hitam, memakai baju hijau dan pelitup muka, duduk di sebelah anak perempuannya, Paetongtarn Shinawatra, sebelum konvoi kenderaan meninggalkan hospital.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI