fb fb fb fb fb

Thaksin diberikan parol? - Media tempatan

Thaksin Shinawatra/REUTERS

BANGKOK, 13 Februari- Bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra telah diberikan parol, kata Menteri Kehakiman Tawee Sodsong menurut laporan media tempatan.

Thaksin, yang menjalani hukuman penjara selama setahun, dirawat di hospital polis.

Dia berada dalam senarai 930 banduan yang dianggap tua atau sakit dan diluluskan untuk parol, menurut laporan media.

Menurut undang-undang Thailand, Thaksin boleh dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama enam bulan pada 18 Februari.

Bagaimanapun Kementerian Kehakiman tidak dapat dihubungi segera untuk mendapatkan komen berkenaan perkara itu.

Walaupun mendapat parol, bekas pemimpin itu masih boleh ditahan kerana pendakwa raya mempertimbangkan untuk mendakwanya kerana menghina monarki semasa temu bual pada 2015.

Pada Ogos lalu, Thaksin pulang ke Thailand selepas tinggal di luar negara selama 15 tahun untuk mengelak daripada penjara.

Kepulangannya bertepatan dengan sekutu dan pendatang baru politik Srettha Thavisin dipilih sebagai Perdana Menteri Thailand pada hari yang sama.

Pada malam pertamanya di penjara, Thaksin, 74, dipindahkan ke hospital polis kerana mengalami sesak nafas dan tekanan darah tinggi.

Dia sedang menjalani hukuman penjara setahun di hospital berikutan tahap kesihatannya perlu dipantau rapi.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI